“Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk, maka baginya ada pahala yang sama dengan pahala orang yang mengikutinya dan tidak dikurangi sedikitpun juga dari pahala-pahala mereka.” (HR Muslim)

HOME LOAN CALCULATOR

Jom Seminar

Saturday, October 8, 2011

PROJEK PERUMAHAN 1 MALAYSIA (PR1MA)

Soalan & Jawapan 
PR1MA
 
1. Apa itu PR1MA?
PR1MA (Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia), adalah satu program Kerajaan untuk menggalakkan pemilikan rumah yang lebih meluas, terutama sekali di kalangan kumpulan gaji pertengahan, dengan menyediakan lebih banyak perumahan dengan harga berpatutan di bandar-bandar utama di seluruh negara.
 
2. Adakah PR1MA sebuah pemaju perumahan, penyelaras program atau pihak berkuasa bagi pembangunan-pembangunan perumahan tersebut.
 PR1MA akan menjadi satu pihak berkuasa yang akan membangun, mengurus dan mengendali rumah mampu milik PR1MA yang dibina di bawah programnya.
 Unit PR1MA, di bawah Jabatan Perdana Menteri, juga akan memberi sokongan dalam memperuntukkan rumah-rumah yang dibina oleh pihak swasta, yang telah menerima bantuan daripada Kerajaan.
 Struktur organisasi PR1MA adalah tertakluk kepada keputusan dan kelulusan Kabinet serta akta yang berkaitan yang akan dibentangkan di Parlimen. Satu pengumuman rasmi akan dibuat kelak.
 
Pembangunan Terkini – Putrajaya Holdings Presint 11
 
3. Apakah pembangunan perumahan yang diperuntukkan oleh PR1MA buat masa ini?
 Di bawah Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang dilancarkan pada 4 Julai 2011, sejumlah 560 rumah mampu milik akan diperuntukkan kepada pemohon yang layak (syarat kelayakan seperti di bawah) yang bekerja atau tinggal di Putrajaya dan merupakan pengundi berdaftar di Putrajaya.
 PR1MA percaya semangat kepemilikan di kalangan pemilik rumah adalah amat penting, dan PR1MA ingin memupuk semangat ini di kalangan pemilik bukan sahaja terhadap rumah yang didiami malah komuniti di mana mereka tinggal. Pengundi di Putrajaya adalah berkemungkinan besar bermastautin Putrajaya. Dengan memperuntukkan rumah-rumah ini kepada mereka, PR1MA memupuk semangat kepemilikan dan kemasyarakatan yang lebih utuh di kalangan mereka.
 
4. Di manakah terletaknya perumahan tersebut?
 Ia terletak di Presint 11, Putrajaya dan dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PJH).
 
5. Apakah saiz rumah-rumah yang diperuntukkan itu? Berapakah harga rumah-rumah tersebut?
 420 unit rumah bersaiz 815 kaki persegi dengan harga RM120,000.00 setiap satu.
 140 unit rumah berukuran 1,006 kaki persegi berharga RM150,000.00 setiap satu.
 
6. Bagaimana untuk memohon? (Sila rujuk prosedur-prosedur di bawah)
 Calon-calon yang berminat boleh memohon didalam talian (klik di sini untuk borang permohonan)
 Permohonan boleh dibuat didalam talian, serta di kiosk-kiosk di beberapa lokasi di Putrajaya: Pusat Maklumat Perbadanan Putrajaya, Kementerian Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Galeri Jualan Putrajaya Holdings.
 Pendaftaran dibuka dari 30 September sehingga 13 Oktober 2011.
 
7. Bagaimana peruntukan akan dibuat?
 Peruntukan akan dibuat melalui proses cabutan terbuka.
 
8. Bila dan di mana cabutan akan dilakukan? (Sila rujuk prosedur-prosedur di bawah)
 Cabutan akan dilakukan pada 15 Oktober 2011 di Kompleks Kejiranan, Presint 11, Putrajaya. Syarat-syarat Kelayakan
 
9. Siapa yang layak untuk memohon untuk perumahan PR1MA?

Kewarganegaraan
 Anda mestilah seorang warganegara Malaysia.
 

Umur
 Anda mesti berumur 21 tahun semasa memohon.
 

Gaji
 Gaji isi-rumah kasar tidak melebihi RM6,000 sebulan (suami dan isteri)
 

Pemilikan Rumah
 Program ini terbuka kepada mereka yang hanya memiliki satu rumah di Malaysia, atau mereka yang belum lagi memiliki rumah di dalam negara.
 

Terma & Syarat
 Pemohon mesti setuju untuk menyediakan dokumen-dokumen yang berkaitan, bagi tujuan penapisan.
 Selepas peruntukan rumah, terdapat tempoh moratorium selama 10 tahun, dimana rumahrumah yang dipertuntukkan tidak boleh dijual atau dipindahmilik kepada mana-mana pihak
 Rumah-rumah itu mesti didiami oleh pemilik – sebarang bentuk penyewaan tidak dibenarkan Prosedur
 
10. Bagaimana saya memohon untuk rumah PR1MA?
 

Pendaftaran
 Calon mendaftar didalam talian.
 Tiket bernombor siri akan diberi kepada pemohon apabila pendaftaran telah disahkan.
 Tempoh memohon ialah selama 14 hari.
 

Cabutan
 Cabutan akan dilakukan pada tarikh yang tertera. (NB: Calon tidak dimestikan hadir namum kehadiran adalah dialu-alukan)
 Pemohon yang terpilih akan diberitahu melalui surat dan akan diminta untuk menyediakan dokumen-dokumen yang berkaitan bagi tujuan penapisan, di suatu masa yang akan ditentukan kelak.
 

Pengumuman
 Notis terakhir akan dikeluarkan oleh Unit PR1MA, Pejabat Perdana Menteri kepada pemohon yang berjaya.
 
11. Bagaimana rumah PR1MA akan diperuntukkan?
 Rumah PR1MA akan diperuntukkan melalui proses cabutan yang telus dan terbuka, yang adil bagi semua pemohon yang layak.
 Setiap proses cabutan akan dipantau oleh firma akauntan bertauliah, yang juga akan mengendalikan audit yang kerap untuk memastikan proses permohonan adalah telus dan mematuhi piawaian dan prosedur.
 
12. Adakah PR1MA akan menawarkan kediaman-kediaman yang serupa di tempat lain?
 PR1MA akan mengumumkan kediaman-kediaman serupa di lokasi-lokasi lain, berserta dengan syarat-syarat kelayakan dan prosedur-prosedur tertentu bagi projek-projek tersebut, apabila tiba masanya nanti.
 

Merancang Kewangan
 
13. Adakah PR1MA akan memberikan pinjaman kepada pemohon yang Berjaya?
 PR1MA tidak menyediakan pinjaman kepada pembeli.
 Pemohon perlu membuat perancangan pinjaman mereka sendiri.
 Pihak pemaju akan menyediakan senarai bank-bank / institusi-institusi kewangan panel. 


Sumber

Belanjawan 2012

Belanjawan 2012: Najib Umum Dasar Transformasi Nasional Pacu Negara Hingga 2020

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Belanjawan 2012 berjumlah RM232.8 bilion dan mengumumkan Dasar Transformasi Nasional (DTN) bagi menaungi program-program transformasi yang telah dan akan dilaksanakan ke arah menjayakan cita-cita mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu dan maju menjelang tahun 2020.

Perdana Menteri berkata dasar itu, yang menjadi kemuncak kepada semua program dan inisiatif untuk menjadi negara maju, bermula tahun ini sehinggalah tahun 2020.

Sejak mengambil alih kepimpinan negara pada 2009, Najib memperkenalkan falsafah pentadbiran 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan sebelum menyusuli dengan Program Transformasi Nasional (GTP), Program Transformasi Ekonomi dan baru-baru ini, Program Transformasi Politik untuk menjadikan Malaysia negara moden, progresif dengan demokrasi yang berfungsi.

Ketika membentangkan Belanjawan 2012 bertemakan "Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara" di Dewan Rakyat pada Jumaat, Najib yang juga Menteri Kewangan, menggariskan strategi merangsangkan ekonomi, sambil menyarankan program inklusif yang peka terhadap kesejahteraan rakyat dalam menangani kos sara hidup yang meningkat.

Belanjawan kali ini cuba memberi keselesaan kepada setiap lapisan rakyat, daripada golongan gelandangan, pemandu teksi, nelayan, warga emas, peneroka Felda, penjawat awam dan pesara, golongan wanita dan belia, hinggalah kepada kalangan kontraktor dan pelabur.

Malah, Anggota-anggota Parlimen juga bakal menikmati elaun baru serta kemudahan lain.

Dalam ucapannya selama dua jam 10 minit itu, Perdana Menteri yang yakin dengan keutuhan asas ekonomi negara beserta langkah-langkah rangsangan, berkata ekonomi negara dijangka tumbuh antara 5 peratus dan 6 peratus tahun depan.

Katanya pelaburan swasta dan awam dijangka meningkat, disokong peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaksanaan projek ETP dan Rolling Plan Kedua (RP-Kedua) di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

Belanjawan 2012 menyediakan peruntukan RM181.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM51.2 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Najib berkata defisit kerajaan Persekutuan bagi 2012 dijangka terus berkurangan kepada 4.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 5.4 peratus pada 2011.

Kutipan hasil kerajaan Pusat bagi tahun 2012 diangggarkan meningkat 1.9 peratus kepada RM186.9 bilion berbanding RM183.4 bilion pada tahun 2011.

Bagi tahun 2012, Najib berkata kerajaan akan melaksanakan sejumlah projek di bawah Pakej Rangsangan Khas berjumlah RM6 bilion.

Belanjawan 2012 memberi penekanan kepada lima fokus, iaitu Meligatkan Pelaburan; Mengungguli Modal Insan, Mencerna Kreativiti Dan Mencetus Inovasi; Program Transformasi Luar Bandar; Memperkejap Perkhidmatan Awam; dan Meredakan Inflasi Dan Mengimarah Kehidupan Rakyat.

Bagi meligatkan pelaburan, kerajaan akan melaksanakan Rolling Plan Kedua dengan menumpukan kepada projek pembangunan berimpak tinggi dengan peruntukan RM98.4 bilion bagi tahun 2012 dan 2013.

Projek tersebut antaranya ialah landasan kereta api berkembar Gemas-Johor; projek lebuh raya Pantai Timur Jabor-Kuala Terengganu, Banting-Taiping, Segamat-Tangkak dan jalan Kota Marudu-Ranau; serta pembangunan semula pangkalan udara Sungai Besi.

Najib juga mengumumkan cadangan menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings sebagai sebuah lagi syarikat "blue chip" (saham mewah) perladangan sebelum pertengahan tahun depan.

Katanya setiap peneroka akan menerima "durian runtuh" yang jumlahnya akan diumumkan sebelum penyenaraian dilakukan.

Bagi mengungguli modal insan, Najib mengumumkan tahun 2012 sebagai Tahun Gerakan Inovasi Nasional bagi menggalakkan cetusan idea bernilai komersil.

Beliau juga mengumumkan pemansuhan bayaran bagi sekolah mulai tahun depan, menjadikan pendidikan di sekolah rendah dan menengah kerajaan adalah percuma.

Bagi luar bandar, Najib menggariskan Program Transformasi Luar Bandar, bertujuan menarik pelaburan swasta, menyediakan peluang pekerjaan serta menggalakkan generasi muda kembali berkhidmat.

Bagi sektor perkhidmatan awam, Najib mengumumkan pelanjutan umur persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun selain kenaikan gaji antara tujuh dan 13 peratus.

akitangan awam juga akan menerima bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 manakala pesara menerima kenaikan pencen dua peratus.

Najib juga mengotakan janjinya untuk mendengar rintihan rakyat tentang kenaikan harga barang, terutama makanan.

Katanya kerajaan akan mengambil langkah bersepadu menangani fenomena itu seperti meningkatkan pengeluaran beras, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Sambil memberi jaminan pemberian subsidi akan diteruskan, Najib sempat melemparkan sindiran kepada parti pembangkang, yang menurutnya cuba menguar-guarkan konsep negara kebajikan, sedangkan kerajaan Barisan Nasional telah pun mengamalkan konsep itu selama ini.

"Kita minta mereka ada sedikit rasa keihkhlasan politik, janganlah berlagak seolah-olah merekalah orang yang pertama yang menemui formula ini," katanya.

Najib berkata Belanjawan yang beliau bentangkan itu merangkumi segenap taraf sosioekonomi rakyat.

Najib berkata usaha pentadbirannya tidak hanya membabitkan pengukuhan perpaduan nasional berasaskan prinsip kepelbagaian, menambahbaik penyampaian sektor awam, proses penstrukturan ekonomi, malah menjangkau Program Transformasi Politik "yang akan menjadi saksi menyinsingnya fajar baru Malaysia".

"Di mana, perbezaan yang sihat serta membina tidak akan lagi menjadi punca pertelingkahan tidak berkesudahan. Di mana, tidak ada individu yang akan dihukum hanya sanya kerana ideologi berbeda. Di mana, anak-anak muda akan bebas untuk menggilap idealisme mereka di atas bumi Malaysia ini, demi kemajuan negara," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...